Monday, December 14, 2009

kg sg melayu & pantai lido

Di sini la dulu kalau nak balik kampung. naik bot ke kampung tebing runtuh. sekarang kampung tu tinggal nama. tapi selalu pergi ke kampung sungai melayu... pak itam cujie kat kampung tu. dan satu lagi nak tambah ni... jalan yang dimaksudkan dalam artikel ini bukanlah satu jalan yang sempurna. Bayangkan jalan yang hanya satu lane... kalau selisih kereta memang payah. pastu jalan pon bukan sempurna sangat. buat setakat tutup mulut orang kampung. itupun dah lubang sana lubang sini padahal baru buat jalan tu lepas mengundi kalau tak silap. lagipun orang kampung bukan senang sangat... kebanyakkan ada motor je, boleh bilang dengan jari yang mana ada kereta. kenderaan awam? langsung takde...

Johor: Jeti masih diperlu

Oleh Mohd Zin Ali
mdzin@nstp.com.my


PENDUDUK Kampung Sungai Melayu dan Sungai Danga menggunakan jeti untuk urusan seharian di bandar raya Johor Bahru.

Kemudahan diguna pelajar, jururawat

JOHOR BAHRU: Jeti terapung di tepi Pantai Lido, di sini masih diperlukan untuk kemudahan kira-kira 1,000 penduduk Kampung Sungai Melayu, Sungai Danga, Sungai Temon dan Bakar Batu di Taman Perling yang masih menggunakan pengangkutan air.

Kemudahan itu bukan saja digunakan pelajar, jururawat, guru dan pegawai kerajaan yang perlu menghadiri keraian di perkampungan berkenaan, tetapi juga penduduk kampung yang ingin ke bandar atau ke pasar membeli barangan keperluan harian.

Selain itu, jeti terapung itu juga digunakan sebagai pangkalan untuk menambat bot milik penduduk kampung berkenaan secara percuma, malah nelayan di Kampung Skudai Kiri turut menggunakan kemudahan pangkalan di jeti itu untuk menambat bot berikutan kesukaran masuk ke kawasan kampung selepas kerja penambakan tanah di Teluk Danga menghalang laluan bot terutama ketika laut surut.

Pemilik jeti berkenaan, Raja Hamid Mohd, 68, berkata sejak menerima notis pindah daripada pemaju melalui surat bertarikh 1 Oktober lalu, beliau menghadapi masalah untuk berbuat demikian berikutan tidak disediakan tempat sesuai bagi menggantikan jeti sedia ada.

Beliau berkata, jeti berkenaan yang dibina sejak 1993 itu bertujuan menyediakan kemudahan kepada orang ramai, terutama di Kampung Sungai Melayu dan berhampiran ke bandar dan sebaliknya, dan bukannya bertujuan komersial.

"Dengan menggunakan kemudahan bot di sini, penduduk Kampung Sungai Melayu hanya mengambil masa antara 10 minit ke Pantai Lido berbanding kira-kira satu jam jika menggunakan jalan darat.

"Jadi, penduduk kampung lebih suka menggunakan kemudahan bot di sini jika berlaku kecemasan untuk ke hospital.

"Ia juga seakan tradisi untuk penduduk kampung menggunakan jeti ini untuk pulang ke kampung sama ada siang atau malam, manakala mereka yang mempunyai bot pula menambat bot di sini tanpa dikenakan bayaran," katanya.

Anak Raja Hamid, Ali, 40, berkata beliau yang mempunyai bot untuk disewa penduduk kampung melakukan kira-kira lapan perjalanan sehari untuk membawa kira-kira 20 pelajar dan pekerja setiap hari.

Beliau berkata, ketika cuti umum seperti Hari Kebangsaan atau malam kemerdekaan, penduduk akan datang ke jeti berkenaan untuk menghadiri sambutan majlis itu yang selalu diadakan sama ada di Teluk Danga atau Dataran Bandaraya.

"Jeti ini diperlukan untuk menjaga keselamatan bot milik penduduk kampung daripada hilang atau rosak terutama apabila dipukul ribut di Selat Tebrau," katanya.

Sementara itu, Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad, berkata arahan pemindahan jeti tanpa menggantikannya dengan satu tempat sesuai akan menyukarkan penduduk di enam kampung berhampiran untuk menjalankan aktiviti harian seperti ke sekolah dan bandar.

Berikutan itu, beliau berkata, Datuk Bandar Johor Bahru, Mohd Jaafar Awang perlu mengenakan syarat kepada syarikat konsesi yang bertanggungjawab membina Lebuhraya Pesisir Pantai berkenaan supaya mengekalkan jeti rakit berkenaan.

Katanya, tanpa penempatan semula di tempat sesuai, ia akan menyukarkan orang ramai yang berpendapatan rendah untuk meletakkan bot di tempat sesuai.

"Kadangkala, penduduk Kampung Sungai Melayu perlu menggunakan perkhidmatan bot di jeti ini untuk keluar ke bandar atau ke destinasi lain terutama pada masa kecemasan atau keraian.

"Walaupun sudah mempunyai jalan darat tetapi kemudahan jeti ini masih diperlukan penduduk kampung, malah menaiki bot sudah menjadi tradisi penduduk sejak berpuluh tahun lalu," katanya.

Pandak berkata, pemindahan jeti itu menyebabkan tiada lagi pangkalan lain untuk penduduk Kampung Sungai Melayu ke Pantai Lido.

"Kami jangka pembangunan lebuh raya pesisir itu akan memberi kesenangan kepada penduduk tetapi sebaliknya ia menambah sulit hidup kami," katanya.

p/s: artikel dari berita harian 14 Disember 2009.

No comments: